KENINGAU: Pensyarah Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr Sirhajwan Idek dipilih menerima Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 daripada Chulalongkorn University di Bangkok, Thailand.
Beliau menerima anugerah dalam kategori pendidikan vokasional hasil pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti yang diperkenalkan di kolej berkenaan.
Pendekatan tersebut melibatkan khidmat masyarakat, advokasi dan penyelidikan komuniti sehingga berjaya menarik pelbagai geran daripada organisasi seperti Impact Malaysia, CHANGE dan Arus Academy.
Antara projek yang berjaya dilaksanakan termasuk kerja pembaikan sekolah, kempen literasi kewangan, penyelidikan bersama petani dan bantuan baik pulih rumah lama.
Menurut Dr Sirhajwan, pendekatan itu membantu meningkatkan penglibatan sivik, kecerdasan emosi dan daya tahan pelajar selain memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata, pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan pendidikan vokasional mampu melahirkan pendidik serta pelajar berkualiti tinggi.
