TAWAU: Pasukan Perahu Naga Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (PPPCT) berjaya meraih gelaran juara kategori lelaki Cina Malaysia dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS Sabah Kali Ke-11 2026 di Teluk Likas, Kota Kinabalu.
Pasukan itu turut membawa pulang tempat ketiga kategori campuran Cina Malaysia dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Mei lalu.
Presiden PPPCT, Henery Wong Chen Khiong berkata, kemenangan tersebut amat membanggakan kerana pasukan Tawau berjaya menewaskan beberapa pasukan handalan termasuk juara bertahan dari Kota Kinabalu.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil disiplin latihan, semangat juang pemain serta sokongan masyarakat setempat terhadap pembangunan sukan perahu naga di Tawau.
Beliau berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan menjelang Perlumbaan Perahu Naga Tawau Ke-39 Tahun 2026 yang akan berlangsung pada 7 Jun depan.
