Nizam sifat pindaan struktur PGRS langkah strategik perkukuh parti

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan cadangan pindaan struktur parti daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian sebagai langkah strategik bagi memperkukuh gerak kerja parti.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu bukan sekadar perubahan angka, sebaliknya usaha memastikan organisasi parti lebih tersusun, fokus dan berkesan dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Struktur yang lebih kemas akan membantu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan serta memastikan tenaga dan sumber parti digunakan dengan lebih cekap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, langkah itu juga perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh perpaduan dalaman parti dan bukan sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak.

Nizam berkata, kekuatan PGRS amat penting dalam memastikan kestabilan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan negeri terus terpelihara.

Beliau turut menyifatkan langkah tersebut mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan Presiden PGRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam melakukan penyesuaian demi masa depan parti.