Pendaftaran Pesta Memancing Sepanggar dilanjutkan hingga 16 Mei

KOTA KINABALU: Kaki pancing masih berpeluang menyertai Pesta Memancing Sepanggar 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM16,100 selepas tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga 16 Mei ini jam 12 tengah hari.

Program anjuran Sabah News Today (SNT) bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan komuniti nelayan Kampung Bangka-Bangka itu dijadual berlangsung pada 17 Mei di kawasan ODEC UMS bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengerusi penganjur, Zakaria Damit berkata, program itu bertujuan menggalakkan aktiviti riadah sihat selain mengeratkan hubungan komuniti setempat.

“Kita mahu lebih ramai peserta turut serta kerana sebahagian yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Dapur Siswa UMS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar dijangka hadir melepaskan peserta pada jam 8 pagi.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pula dijangka disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan Google Form rasmi atau menghubungi talian 013-8601636 untuk maklumat lanjut.