28 ‘scammer’ warga asing didenda RM5,000

TAWAU: Seramai 28 warga asing termasuk dua wanita didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terbabit dalam sindiket penipuan ‘love scam’ dan pelaburan dalam talian.

Semua tertuduh berusia antara 21 hingga 51 tahun terdiri daripada 26 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang wanita warga Vietnam.

Pengakuan bersalah dibuat di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum dan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dalam dua prosiding berasingan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa memperdaya mangsa melalui penipuan ‘love scam’ dan pelaburan penjualan produk kegunaan harian secara dalam talian yang menyasarkan warga Korea.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di empat banglo mewah di Indah Regency Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, pada jam 9.20 pagi, 6 Mei lalu.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Peguam Choong Wen Shan yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman denda RM5,000 bagi setiap individu selaras rundingan pengakuan salah yang dipersetujui pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian memerintahkan 16 tertuduh didenda RM5,000 setiap seorang atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Dalam prosiding berasingan, 12 lagi tertuduh turut dikenakan denda RM5,000 setiap seorang atau penjara empat bulan jika gagal membayar.

Semua tertuduh turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai membayar denda atau menjalani hukuman penjara.