KUDAT: Seramai 38 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan dijalankan di Kudat dan Tawau, baru-baru ini.
Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
Di Kudat, Ops Mahir yang dijalankan memeriksa 20 individu sebelum menahan 15 warga asing warga Filipina terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Semua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu di Tawau, operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa 56 individu sebelum menahan 23 warga asing terdiri daripada 18 warga Filipina, empat warga Indonesia dan seorang lelaki warga India.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut kenyataan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kebanjiran PATI di negeri ini.
