KOTA KINABALU: Wira Parti Warisan mempertikaikan kenyataan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib bahawa tiada lagi sekolah daif di Sabah.
Naib Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd Khairuddin Daud berkata, masalah pendidikan di Sabah tidak sepatutnya dinilai hanya berdasarkan keadaan fizikal bangunan sekolah semata-mata.
Menurut beliau, isu keciciran pendidikan di kawasan pedalaman dan pulau terpencil masih serius akibat faktor kemiskinan, jarak sekolah, pengangkutan dan akses internet yang lemah.
“Tidak cukup dengan bangunan sekolah yang cantik, tetapi masih ramai pelajar di Sabah gagal kekal dalam sistem pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memberi perhatian lebih serius terhadap isu keciciran pelajar, akses pendidikan di pedalaman, bantuan pengangkutan serta kemudahan internet.
Khairuddin turut menegaskan pendidikan bukan sekadar membina infrastruktur tetapi memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkualiti tanpa mengira lokasi serta latar belakang keluarga.
