KOTA KINABALU: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.
Baginda tiba kira-kira jam 2.08 petang sebelum disambut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Isyak Ayub.
Baginda kemudian menandatangani buku lawatan sebelum diiringi ke Pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah untuk sesi pertemuan yang berlangsung lebih sejam.
Difahamkan, pertemuan itu bagi bertukar pandangan dan idea berkaitan pelbagai perkara.
Selepas itu, baginda dijadual berangkat ke Kundasang bagi mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo yang berlangsung sehingga 13 Mei.
Baginda juga dijadual mendaki Gunung Kinabalu bersama anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).
