KOTA KINABALU:: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di atas bumbung sebuah restoran di Sepanggar Seafood Village Restaurant, Karambunai, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.16 petang itu, mangsa dilaporkan berada di atas bumbung bangunan sebelum terkena renjatan elektrik.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 10 anggota bersama jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berada di atas bumbung bangunan dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak menurunkan mangsa menggunakan strecher sebelum mangsa diperiksa pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.06 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
