LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menumpaskan dua kes penyelewengan diesel tanpa permit menerusi Ops Tiris 4.0 dengan nilai rampasan keseluruhan RM83,806.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, dalam kes pertama seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan berhampiran Saguking Warehouse, Jalan Tuanku Sharif Kedah.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan ‘single cab’, anggota penguat kuasa menemukan kira-kira 1,000 liter diesel disimpan dalam lima tong bersama hos dan pam elektrik.
“Pemandu gagal mengemukakan sebarang permit atau kebenaran bertulis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, nilai rampasan bagi kes pertama dianggarkan RM53,720.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak ketika dipercayai mengisi diesel ke dalam gelen 20 liter secara berulang sebelum dikumpulkan dalam sebuah kenderaan milik syarikat perindustrian.
Katanya, suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran sebelum minyak diesel itu dirampas dengan nilai keseluruhan RM30,086.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
