LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan tiga individu termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan projek Pengurusan Fasiliti dan Penyelenggaraan di Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan bernilai kira-kira RM2.6 juta.
Menurut sumber, penjawat awam terbabit yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan di sebuah jabatan kerajaan di Labuan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan lesen syarikat kontraktor utama bagi melantik syarikat subkontraktor milik ahli keluarganya sendiri.
Tindakan itu dipercayai dilakukan bagi memperoleh keuntungan melalui pelaksanaan projek berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Permohonan reman terhadap ketiga-tiga individu terbabit dibenarkan oleh Majistret Dr Melissa Chia. Mereka direman selama enam hari bermula 7 Mei hingga 12 Mei bagi membantu siasatan lanjut.
SPRM dijangka meneruskan siasatan termasuk meneliti dokumen berkaitan pelantikan subkontraktor serta aliran kewangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek terbabit.
