Rakyat Sabah digesa tanam padi sendiri

TONGOD: Rakyat Sabah diingatkan supaya kembali kepada tujuan asal Pesta Kaamatan iaitu menghasilkan tanaman padi susulan kebimbangan bekalan beras import mungkin terjejas menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, negara berdepan risiko krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya rakyat tidak berusaha menghasilkan padi sendiri.

Beliau berkata, konflik di Asia Barat berisiko menjejaskan rantaian bekalan makanan global, sekali gus memberi kesan kepada negara pengeksport beras.

“Negara seperti India, Myanmar dan Vietnam sudah menghadkan bekalan beras ke Malaysia selain menaikkan cukai import sehingga 40 peratus,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Tongod.

Menurutnya, Sabah kini mengimport kira-kira 400,000 tan metrik beras setahun berbanding pengeluaran tempatan sekitar 120,000 tan sahaja.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat memanfaatkan pelbagai inisiatif kerajaan bagi mengusahakan tanaman padi sendiri.