Bakal jemaah haji diingat utamakan keselamatan, kesihatan – Shahelmey

PUTATAN: Bakal jemaah haji yang akan berangkat ke Tanah Suci diingatkan supaya mengutamakan faktor keselamatan dan kesihatan sepanjang musim haji tahun ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, jemaah juga perlu sentiasa mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Haji Malaysia bagi memastikan kelancaran ibadah.

Menurutnya, musim haji tahun ini dijangka mencabar dengan jumlah jemaah yang ramai, keadaan cuaca panas serta jadual ibadah yang padat.

“Dalam situasi ini, jemaah perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, selain sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 bakal jemaah haji dalam majlis Duyufurrahman Peringkat Parlimen Putatan di Masjid Daerah Putatan.

Tambah beliau, program berkenaan merupakan sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) bagi meraikan tetamu Allah yang akan berangkat ke Tanah Suci bermula 11 Mei ini.