TAWAU: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencabul seorang juruwang wanita di sebuah pasar raya di bandar ini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa berusia 20 tahun didatangi suspek yang berpura-pura bertanya mengenai barangan sebelum meminta ditunjukkan lokasi di rak sabun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika mangsa cuba beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluknya sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.
“Suspek kemudian bertindak menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara tidak senonoh sebelum mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut.
“Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
“Turut dirampas beberapa pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
