KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan bantuan segera kepada empat pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, baru-baru ini.
Menerusi Program Menyantuni Pelajar Mangsa Kebakaran, setiap pelajar menerima sumbangan RM500 serta bakul makanan bagi membantu meringankan beban mereka.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, universiti komited dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika berdepan situasi mencabar.
Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja berbentuk kewangan, malah turut memberi sokongan moral dan emosi kepada pelajar yang terjejas.
“UMS akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang prihatin dengan menyediakan bantuan segera dan sokongan berterusan,” katanya.
Beliau berkata, pihak universiti juga akan menilai keperluan lanjut pelajar bagi memastikan bantuan tambahan dapat disalurkan sekiranya diperlukan.
