KOTA KINABALU: Seramai 207 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen Malaysia Sabah menerusi Program Pemindahan Tahanan.
Daripada jumlah itu, 192 merupakan warganegara Indonesia manakala 15 lagi warga Filipina, melibatkan individu berusia antara satu bulan hingga 63 tahun.
Menurut kenyataan, kesemua tahanan terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak yang telah selesai menjalani hukuman penjara dan dilengkapi dokumen perjalanan sah sebelum dihantar pulang.
Kesalahan mereka melibatkan pelanggaran Akta Imigresen 1959/63 termasuk memasuki negara tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Dalam pada itu, pihak imigresen menegaskan tidak akan berkompromi terhadap warga asing tanpa dokumen sah serta majikan yang menggaji mereka.
Sehingga kini, seramai 1,838 bukan warganegara telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk di Sabah.
