Ops Tapis Sandakan: Dua lelaki ditahan positif dadah

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan dalam Op Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan di sekitar Kampung Batu Putih, Batu 7, pada 21 April lalu.

Operasi yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu bertujuan membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan berkenaan.

Seorang suspek ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada hari yang sama, seorang lagi suspek ditahan oleh anggota rondaan MPV bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk tindakan lanjut, sebelum hasil ujian mendapati mereka positif Methamphetamine dan Amphetamine.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata operasi tersebut dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras gejala dadah di daerah ini.