KOTA BELUD: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi-manda di sungai Kampung Purak Ogis Supuan di sini, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing@Andin, 33, ditemui orang awam kira-kira jam 6.30 pagi, iaitu lebih kurang 2.1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di pesisir sungai bersama penduduk kampung, namun mangsa gagal ditemui pada hari pertama.
“Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.15 malam semalam berikutan faktor cuaca dan disambung semula pagi ini.
“Mangsa kemudian ditemui oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat menggunakan pengusung untuk membawa keluar mayat mangsa dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR yang dijalankan oleh enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud tamat sepenuhnya pada jam 8.35 pagi.
