KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori 10 tan yang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Ulu Kukut, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.36 pagi itu, lori membawa muatan batu dipercayai terbabas sendiri sebelum terbalik di tepi jalan lalu terbakar.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer dan tiba pada jam 12.10 tengah hari.
Komander Operasi, PBK I Hasmaddy Agum berkata, anggota bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula (hose reel) serta satu tong buih (foam).
“Mangsa, lelaki berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi berjaya dikawal pada jam 12.50 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 petang.
Seramai lapan anggota bersama dua jentera terbabit dalam operasi itu.
