Anggota Tentera hilang di Semporna ditemui di Sarawak

KUANTAN: Seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Operasi PASIR di Semporna, Sabah, akhirnya ditemui di Sarawak pada 19 Mac lalu.

Anggota terbabit, Renjer Fredenick anak Petrus, 21, dari Kompeni C, Batalion Ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), sebelum itu dilaporkan tidak hadir semasa pemeriksaan baris pagi di Pos Pulau Pandanan pada 14 Mac lalu.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) berkata, siasatan awal mendapati anggota berkenaan dipercayai Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC).

Menurutnya, susulan itu pasukan keselamatan melaksanakan usaha pengesanan sebelum berjaya menahan anggota terbabit di Kota Samarahan, Sarawak pada 19 Mac lalu.

“Anggota itu ditangkap oleh pasukan 3 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) sebelum dibawa ke hadapan Majistret Kota Samarahan.

“Ketika ini, dia ditahan di Kem Muara Tuang bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MK AB berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar ketidakhadiran anggota itu dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.