Warga emas lemas, cucu masih hilang

KENINGAU: Seorang warga emas ditemukan lemas manakala cucunya berusia 10 tahun masih hilang selepas kedua-duanya dipercayai ke sungai di Taman Bersatu, di sini.

Mangsa, Fredoline Yariki, 60, ditemukan orang awam kira-kira jam 5.21 petang semalam, tujuh kilometer dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bermula seawal jam 6.10 pagi dengan kaedah pencarian permukaan di Sungai Banjar dan Sungai Mempikit.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemukan setakat ini.

Operasi SAR membabitkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam.

Operasi ditangguhkan jam 6.37 petang dan akan disambung semula hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian kedua-dua mangsa ke sungai untuk mencuba bot baharu yang dibeli oleh warga emas berkenaan.