TAWAU: Aktivis masyarakat Mohd Zaki Harry Susanto menggesa semua pihak memberi ruang dan masa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Beliau berkata, keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak meneruskan rayuan ke peringkat lebih tinggi merupakan petanda positif ke arah penyelesaian isu berkenaan.
Menurutnya, langkah itu menunjukkan keterbukaan kerajaan pusat dalam menangani tuntutan berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Isu ini bukan baharu dan memerlukan kesungguhan politik serta proses teliti kerana melibatkan aspek perundangan dan pentadbiran,” katanya.
Zaki turut mengingatkan bahawa desakan politik berlebihan boleh menjejaskan usaha penyelesaian.
Dalam masa sama, beliau berkata beberapa langkah telah diambil kerajaan termasuk peningkatan peruntukan kepada Sabah serta pemberian kuasa meluluskan projek sehingga RM50 juta kepada kerajaan negeri.
