ESSCOM gempur stor rokok seludup, rampasan cecah RM850,000 di Kinabatangan

KINABATANGAN: Pasukan keselamatan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya merampas sebanyak 4,486 karton rokok pelbagai jenama serta 143 karton mercun dalam satu serbuan di Kampung Paris III, di sini, pada 11 Mac lalu.

Rampasan yang dianggarkan bernilai RM850,000 selepas cukai itu dilakukan hasil maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, berkata operasi tersebut melibatkan pemeriksaan ke atas tiga premis tidak bernombor yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan barangan kontraban.

Menurutnya, antara jenama rokok yang dirampas termasuk Astro Merah, Neslite, Astro Fuze, Era Biru, L.A Bold, Nice, Extreme Mild, A Satu Premium dan Tembakau Salak.

“Barang rampasan disyaki melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 dan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ESSCOM akan terus memperhebat operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).