Curi pacuan empat roda, lelaki diberkas orang awam

LABUAN: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri, di sini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Mohd Hamizi Halim berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun kira-kira jam 10.29 pagi selepas mendapati kenderaan miliknya telah dicuri individu tidak dikenali.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan tidak berkunci sebelum pergi ke laut untuk menangkap ikan.

“Dua saksi awam yang berada berhampiran lokasi melihat seorang lelaki melarikan kenderaan itu kira-kira jam 8 pagi sebelum bertindak mengejar suspek,” katanya.

Kenderaan yang dipandu suspek kemudiannya terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan orang awam berhampiran kawasan Labuan International Golf Club sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.