Tegur jual rokok seludup, pegawai MPS dipukul

SANDAKAN: Seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera selepas dipukul sekumpulan lelaki ketika menegur seorang individu yang dipercayai menjual rokok seludup di Pasar Batu 8, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan di kawasan pasar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, mangsa menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka sebelum berlaku pertengkaran.

“Situasi menjadi tegang apabila beberapa individu tidak dikenali bertindak menyerang mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dan seorang lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.