8 lelaki ditahan bergaduh di bazar Ramadan

TAWAU: Kekecohan tercetus di Bazar Ramadan Sabindo Plaza di sini selepas sekumpulan lelaki dipercayai bergaduh sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.

Dalam kejadian semalam, polis menahan lapan lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 17 hingga 34 tahun kerana dipercayai terbabit dalam insiden berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian itu dikesan selepas video berdurasi kira-kira 20 saat memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki tular di WhatsApp.

Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi sebelum menahan lima lelaki kira-kira 9 malam di tepi Jalan Taman Kuhara Jaya.

“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas seutas rantai motosikal yang diubah suai dan dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan lelaki sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan bazar.

Katanya, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki kira-kira 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Kampung Batu 2, Jalan Apas selepas dipercayai turut terbabit.

“Semakan awal mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau objek berbahaya,” katanya.

Jasmin berkata, polis memandang serius kejadian pergaduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam terutama di kawasan tumpuan ramai.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang provokasi atau pergaduhan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.