TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan cermin kereta milik bapanya dalam kejadian di Kampung Durian, Merotai Besar, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, lelaki berusia 28 tahun berkenaan didakwa bertindak agresif sebelum merosakkan kenderaan bapanya yang diletakkan di kawasan rumah.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.17 pagi daripada kakak suspek.
Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan adiknya sering mengamuk dan merosakkan barangan di rumah sekiranya permintaannya tidak dipenuhi selain kerap meminta wang serta meminjam motosikal.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.20 pagi di hadapan rumahnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas atau melakukan khianat walaupun membabitkan ahli keluarga sendiri.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak di luar kawalan ketika berdepan tekanan atau konflik dan sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
