KENINGAU: Empat lelaki tempatan ditahan awal pagi semalam selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memotong dan meleraikan kabel milik TELEKOM Malaysia (TM) untuk dijual sebagai besi buruk.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata, semua suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di Kampung Mogong Tangaban, Tambunan hasil maklumat awam dan kerjasama TM susulan gangguan komunikasi di Tambunan dan Keningau.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine (syabu).
Dalam operasi itu, polis merampas 16 barang kes termasuk kabel yang sudah dipotong, peralatan pemotong besi serta sebuah Proton Persona yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam. Polis akan memohon perintah reman bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti kemungkinan penglibatan dalam kes lain.
Yampil menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan infrastruktur awam kerana ia memberi kesan langsung kepada masyarakat.
