KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Salleh Said Keruak berkata penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada strategi dan pendekatan politik baharu, bukan sekadar soal jumlah kerusi yang ditandingi.
Beliau menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, mengenai keperluan penjenamaan semula sebagai langkah yang tepat pada masanya, memandangkan landskap politik negara telah banyak berubah.
Menurutnya, penjenamaan tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan perubahan dari segi cara berfikir, strategi serta budaya politik.
“Formula lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Ia lahir daripada era politik dominasi yang berbeza dengan keadaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Salleh berkata politik masa kini lebih berasaskan gabungan, rundingan dan kerjasama strategik, dengan kekuatan diukur melalui keupayaan membentuk kerajaan yang stabil, bukannya jumlah kerusi yang ditandingi.
Katanya, pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti serta penyelesaian praktikal terhadap isu rakyat.
“Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi bukan lagi pilihan utama. Pembaharuan BN mesti menumpukan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan kemampuan bekerjasama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bergerak sendirian bukan strategi yang sesuai dalam suasana politik semasa.
“Penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi — daripada mengejar angka kepada memberi hasil,” katanya.
