Syabu 25.74kg Bernilai RM1.28 Juta Dirampas, 4 Ditahan

PENAMPANG: Polis menahan empat individu selepas syabu seberat 25.74 kilogram (kg) bernilai anggaran RM1.28 juta dirampas dalam satu operasi di lobi sebuah kondominium di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton, berkata rampasan dibuat hasil pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) terhadap empat suspek sebelum menemui 24 paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan hablur disyaki methamphetamine.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan serta menahan individu lain yang terlibat termasuk rangkaian pengedaran dadah tersebut.

“IPD Penampang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sammy turut menegaskan bahawa pihak polis kekal komited dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat terus terpelihara.

Orang awam juga di gesa terus bekerjasama dengan PDRM dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah demi memastikan daerah Penampang kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah.