KENINGAU: Pasukan bakeri dan pastri Kolej Vokasinal Keningau dipilih menerima geran RM3,000 daripada CHANGE untuk projek komuniti “Slices of Care” yang membimbing wanita berpendapatan minima membuat dan menjual kek serta kuih.
Projek yang diketuai guru Syafiqah Eugene bersama tiga pelajar tahun kedua, Nur Aleysa Felix @ Mohd Fahmey, Nurul Fitriyani Izwani Abdul Mutalip dan Nurul Nabilah Batrisyia Abd Karim, akan menggunakan dapur KV Keningau sebagai pusat latihan dan penyediaan makanan.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata, geran ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap usaha murni kolej, tetapi juga memperkukuh peranan pendidikan vokasional dalam membantu komuniti setempat.
Projek Slices of Care adalah antara tujuh projek terpilih dalam CHANGE Microgrant Programme 2026, bertujuan memperkasakan wanita bekerja agar memperoleh pendapatan sampingan melalui perusahaan sendiri.
“Geran ini membolehkan kami menjadikan pendidikan vokasional relevan dengan keperluan komuniti sambil melatih kemahiran yang memberi impak langsung,” kata Syafiqah Eugene.
