Jalan Berlubang Pitas: Tindakan Segera Diperlukan

PITAS:  Ketua Pemuda PGRS Bahagian Pitas Asmey Ruddy, menegaskan kerosakan teruk jalan raya di daerah itu memerlukan tindakan segera daripada pihak berkuasa dan konsesi jalan.

Menurut beliau, tinjauan terbaru mendapati banyak jalan utama di Pitas berlubang dan membahayakan pengguna, terutama ketika musim hujan apabila lubang sukar dilihat dan berisiko menyebabkan kemalangan.

“Saya telah berhubung dengan Jurutera Daerah dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pitas telah mengarahkan konsesi supaya melaksanakan kerja penyelenggaraan. Namun, tindakan segera dan telus amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dimaklumkan supaya memantau lori yang beroperasi di Pitas, susulan aduan bahawa sesetengah lori membawa muatan berlebihan, mempercepatkan kerosakan jalan.

Asmey turut memberi amaran kepada syarikat konsesi, termasuk Globinaco Sdn Bhd, supaya tidak lalai dalam tanggungjawab mereka. “Jangan tunggu sehingga ada nyawa terancam. Rakyat hanya mahukan jalan yang selamat dan tidak rosak,” katanya.

Laluan yang dikenal pasti memerlukan perhatian segera termasuk Jalan Kerasik ke Jambatan Kalipuon, jalan hadapan Petronas, jalan hadapan Hospital Pitas, selekoh Rosob, dan jalan hadapan Petron Mempakad.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan keadaan jalan raya di Pitas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya tiada kemajuan dilihat.