SK Garau Cipta Sejarah, Tuan Rumah MSS Kudat 2026

KUDAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Garau melakar sejarah tersendiri apabila julung kali menjadi tuan rumah Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Daerah Kudat (MSSDK) 2026 yang berlangsung meriah dan penuh semangat kesukanan di sekitar kawasan sekolah, pada Jumaat.

Sebanyak 12 sekolah menengah menghantar 140 pelari melibatkan kategori lelaki dan perempuan bawah 15 serta bawah 18 tahun. Bagi sekolah rendah pula, 32 sekolah mengambil bahagian dengan penyertaan 231 murid kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun.

Penentuan kedudukan pasukan dibuat berdasarkan agregat empat pelari terbaik setiap pasukan, dengan jumlah mata terendah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Dalam kategori sekolah menengah, SMK  Matunggong, muncul juara keseluruhan, diikuti SMK Pinawantai selaku naib juara dan SMK St Peter Kudat di tempat ketiga.

Bagi kategori sekolah rendah, Zon Matunggong meraih gelaran juara keseluruhan, manakala SK Padang Banggi muncul naib juara dan Zon Sikuati di tempat ketiga.

Keputusan Individu

Kategori perempuan bawah 12 tahun dimenangi Kimberly Eina Remen (Zon Matunggong), diikuti Alvera Fedora Fardrek (Zon Matunggong) dan Arcely Florinetha Fardrek dari SK Garau.

Bagi lelaki bawah 12 tahun, penguasaan milik SK Padang Banggi menerusi Muhamad Riksan Abdullah selaku juara, diikuti Mohammad Asli bin Abdullah dan Messih Ading.

Kategori perempuan bawah 15 tahun menyaksikan Quennzy Prettely Jaidi dari SMK Pinawantai muncul juara, manakala lelaki bawah 15 tahun dimenangi Wellonel Felix (SMK Pinawantai).

Bagi bawah 18 tahun pula, Ritchell Amanda binti Edward Tigawon dari SMK Matunggong menjuarai kategori perempuan, sementara Mohammad Ekmal bin Jamal dari SMK Abdul Rahim mengungguli kategori lelaki.

Guru Besar SK Garau merangkap Pengerusi Pengelola, Wahiddin bin Rashid berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat baharu, malah medan pemilihan atlet yang akan mewakili daerah ke Kejohanan Merentas Desa Peringkat Negeri pada 2 April depan di Beluran.

“Komitmen padu guru, ibu bapa, komuniti setempat serta agensi keselamatan dan kesihatan memastikan penganjuran sulung ini berjalan lancar dan teratur,” katanya.

Kejohanan tersebut sekali gus membuktikan kesungguhan warga SK Garau dalam memperkasa sukan sekolah serta melahirkan pelari berpotensi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.