Sabah perlukan lebih RM200 Bilion, STAR mahu hak 40 peratus jadi asas rundingan

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menganggarkan Sabah memerlukan lebih RM200 bilion bagi memenuhi keperluan pembangunan asas negeri dan menggesa supaya hak geran khas 40 peratus dijadikan asas rundingan dengan kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangannya, Anuar Ghani, berkata keperluan itu meliputi pembinaan dan naik taraf infrastruktur, bekalan air dan elektrik, keselamatan makanan serta kesihatan.

Menurut analisisnya, sekurang-kurangnya RM100 bilion diperlukan bagi menaik taraf dan membina jalan raya negeri di 73 kawasan DUN, manakala RM17 bilion lagi untuk projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi.

Beliau turut menganggarkan RM30 bilion diperlukan bagi menggantikan paip air lama sepanjang 20,000km, serta antara RM15 hingga RM20 bilion untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik sehingga 2,600MW menjelang 2036.

Bagi sektor keselamatan makanan, katanya, sekurang-kurangnya RM1.6 bilion diperlukan untuk sistem pengairan bagi meningkatkan tahap sara diri beras kepada 60% menjelang 2030.

Anuar berkata keperluan pembiayaan itu berkait rapat dengan hak Sabah menerima geran khas 40% daripada hasil Persekutuan yang dikutip di negeri berkenaan seperti diperuntukkan di bawah Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pada 17 Okt 2025, Sabah Low Society memperoleh keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan semakan semula pembayaran geran khas bagi tempoh 1974 hingga 2021 serta membatalkan bayaran interim yang diwartakan kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor memperoleh bayaran RM600 juta bagi tempoh 2024 dan 2025, meningkat berbanding RM54.7 juta pada 2018.

Anuar turut merujuk usaha Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan lama memperjuangkan hak 40 peratus melalui bukunya Justice for Sabah.

Beliau berkata rundingan telus dan berterusan antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan hak kewangan Sabah dipenuhi sepenuhnya serta mempercepat pembangunan negeri.