Kanak-kanak 6 Tahun Rentung, Seorang Dewasa Cedera Dalam Kebakaran di Tambunan

TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut manakala seorang wanita dewasa cedera dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah separuh kekal dan tiga kenderaan di Kg Patau, Tambunan, awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.08 pagi dan jentera bomba tiba di lokasi 18 minit kemudian, sejauh 16 kilometer dari balai. Operasi pemadaman dikawal sepenuhnya pada 4.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada 7.00 pagi.

Komander Operasi PBK I Tony Sipin berkata, operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dengan tiga pancutan air dari jentera bomba dan pili bomba. Agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut membantu.

Mangsa kanak-kanak diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut, manakala mangsa dewasa yang cedera dihantar ke hospital.

JBPM Sabah mengesahkan rumah pertama terbakar sepenuhnya manakala rumah kedua mengalami kerosakan 90 peratus. Ketiga-tiga kenderaan di lokasi juga musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

Komander Operasi kanan, PPgB Mitchell Francis George, berkata operasi ditamatkan selepas memastikan keselamatan lokasi terjamin.