Cakna keselamatan kebakaran, elak kemusnahan harta benda, nyawa – SAY

PUTATAN: Komuniti setempat diingatkan supaya lebih cakna terhadap keselamatan kebakaran bagi mengelak kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penduduk DUN berkenaan perlu memberi perhatian serius terhadap hebahan pihak berkuasa dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.

Program Derma Darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Putatan.

“Saya menyeru penduduk di Putatan supaya meningkatkan kesedaran terhadap risiko kebakaran. Jangan ambil mudah aspek keselamatan terutama di kediaman masing-masing kerana sikap sambil lewa boleh meningkatkan risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Putatan bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan di sini, hari ini. SAY diwakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Latip Jiar.

Hadir sama Ketua BBP Putatan, Musran Jabri; Timbalan Pengerusi PBSM Putatan, Harun Hamidun dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat, Syed Arizal Karim.

Program derma darah anjuran Persatuan Bukan Sabit Merah dengan kerjasama Balai Bomba (BBP) Putatan di sini hari ini.

Shah Alfie turut menekankan bahawa program derma darah ini bukan sahaja merapatkan hubungan komuniti, malah menyumbang kepada tabung darah hospital untuk mereka yang memerlukan.

“Insya-Allah, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia mendekatkan pihak berkuasa dengan masyarakat awam, selain membantu menyediakan bekalan darah yang sentiasa diperlukan,” tambahnya.