Dua Cedera Melecur, Tiga Rumah Terlibat Kebakaran

KOTA KINABALU: Tiga buah rumah kediaman hampir musnah dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Tebobon, Menggatal, di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.43 pagi itu, dua orang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat melecur dan telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas tiba di lokasi pada jam 5.59 pagi selepas menempuh jarak sejauh 15 kilometer.

Kebakaran melibatkan tiga buah rumah iaitu sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 25×25 kaki, sebuah rumah tidak kekal berkeluasan sama serta sebuah lagi rumah separuh kekal berukuran 60×40 kaki, dengan kesemua rumah terbabit terbakar kira-kira 95 peratus.

Komander Operasi, PBK II Saflan Sapri berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan air daripada jentera bomba dan pili bomba berhampiran.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 6.41 pagi serta menyelamatkan dua buah rumah berhampiran daripada turut terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba daripada BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu, dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity terlibat dalam operasi pemadaman berkenaan.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 60 tahun mengalami melecur di bahagian tangan, kaki dan belakang badan manakala seorang wanita berusia 48 tahun mengalami kecederaan ringan akibat melecur di tangan kanan dan kaki kiri.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.