TENOM: Sistem pengairan di semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap akan ditambah baik bagi membantu pengusaha padi, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar.
Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata pihaknya menerima pelbagai aduan daripada pengusaha padi di beberapa kampung, antaranya Kampung Kasiai, Kampung Langsat, Kampung Sawang, Kampung Jawa Sumbiling dan Kampung Babalang, berhubung masalah sistem pengairan yang menjejaskan aktiviti penanaman.
Menurutnya, di Kampung Kasiai, pengusaha padi tidak dapat mengusahakan tanaman mereka berikutan sistem pengairan yang tidak berfungsi dengan baik.
“Banjir besar tahun lalu telah meruntuhkan tembok yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pembinaan baharu akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata semua kampung yang mempunyai kawasan sawah padi di DUN Melalap akan diberi perhatian, termasuk usaha meluruskan sungai bagi memastikan bekalan air yang lebih efisien.
Jamawi turut memaklumkan sistem pengairan di Kampung Langsat dan Kampung Sawang masih menggunakan kaedah lama dan tidak teratur.
Beliau berkata demikian ketika meninjau projek pengairan di Sungai Kampung Kalang yang siap dilaksanakan tahun lalu dan telah memberi kesan positif kepada pengeluaran padi di kawasan itu.
