KGKS sokong pengambilan 20,000 guru kontrak

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 secara lantikan kontrak bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu mulai tahun depan.

Presiden KGKS, Murkam Hussien berkata keputusan itu amat bertepatan susulan dasar kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu secara sukarela bermula 2027.

Menurutnya, pertambahan murid yang melibatkan kumpulan umur enam dan tujuh tahun memerlukan pertambahan tenaga pengajar supaya proses pembelajaran dapat berjalan dengan lebih tersusun.

“KGKS menyokong penuh usaha murni KPM ini yang mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan agenda pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad sebelum ini memaklumkan permohonan pengambilan guru kontrak akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac, manakala temu duga dijadualkan dari 27 April hingga 14 Mei.

Pengambilan itu juga sebahagian persiapan awal bagi pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Murkam berharap rakyat tempatan Sabah yang layak dapat merebut peluang tersebut bagi membantu memperkukuhkan sistem pendidikan negara.