KOTA KINABALU: Masalah jalan berlubang di sekitar Tuaran Bypass, Jalan Politeknik dan Jalan KKIP terus menjejaskan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna walaupun kerja pembaikan sering dijalankan.
Pensyarah Kanan Politeknik Kota Kinabalu, Anbukkarasu Paramasivam berkata, kebanyakan kerja tampalan yang dilaksanakan tidak berkualiti dan hanya bertahan dalam tempoh singkat, terutama ketika hujan.
Katanya, kerja pembaikan yang dilakukan pada waktu puncak turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan sekolah dan perindustrian.
“Jalan berlubang bukan sahaja melambatkan perjalanan, malah meningkatkan risiko kemalangan dan kos penyelenggaraan kenderaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penyelenggaraan jalan perlu dilakukan secara terancang, menggunakan bahan berkualiti serta mematuhi piawaian ditetapkan bagi memastikan penyelesaian yang lebih mampan.
