Musa Aman ke Mesir hadiri Majlis Mahabbah Pelajar Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin berangkat ke Mesir bagi menghadiri Majlis Mahabbah bersama pelajar Sabah yang menuntut di negara itu.

Majlis tersebut dijangka menghimpunkan kira-kira 350 pelajar Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir.

Selain menghadiri majlis berkenaan, Tun Musa turut dijadual merasmikan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar Al-Sharif, Mesir.

Pesawat khas yang membawa Tun Musa dan rombongan berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 9.30 pagi.

Sebelum berlepas, bacaan doa dipimpin oleh Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Pangiran Mohd Hanif Awang Omar.

Turut mengiringi keberangkatan beliau ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun serta pegawai-pegawai jabatan persekutuan dan negeri.