TAWAU: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing yang disyaki terbabit dalam kes merusuh dan menyerang seorang pengawal keselamatan di sebuah premis mencuci kenderaan di Jalan Chong Thien Vun, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun serta dua lelaki warga asing berusia lingkungan 18 dan 30-an.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan sebuah pasar raya berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 6 November lalu kira-kira jam 5.30 petang apabila mangsa berusia 19 tahun menghantar kenderaan untuk dicuci sebelum meminta kebenaran mencuci sendiri keretanya.
“Seorang pekerja carwash dipercayai bertindak menumbuk mangsa sebelum dua lagi rakan sekerjanya turut menyerang, menyebabkan mangsa mengalami kesakitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek tempatan mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan kesihatan awam dan penyalahgunaan dadah, manakala dua suspek warga asing tidak mempunyai rekod jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai dinasihatkan supaya menyelesaikan sebarang perselisihan secara berhemah dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi menjamin keselamatan awam.
