SEMPORNA: Cubaan menyeludup minyak petrol ke Filipina terbongkar apabila polis menahan dua lelaki warga Filipina dan merampas 2,250 liter petrol dalam rondaan di perairan Pulau Bum Bum, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, sepasukan anggota Balai Polis Pulau Bum Bum menahan sebuah bot kayu yang mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan 90 jerikin minyak petrol serta dua jerikin petrol bercampur minyak 2T, selain sebuah enjin Yamaha 200 kuasa kuda dua lejang.
Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Tan Hiuo Wah berkata minyak petrol berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina dengan nilai rampasan dianggarkan RM5,760 mengikut harga pasaran semasa.
“Semua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyeludupan dan akan terus memperketat rondaan bagi membanteras jenayah kontraban di perairan Semporna.
