PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kejadian di Jalan Bundusan, Penampang, kira-kira jam 7.30 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Erwansyah Abdul Basir berkata siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios itu dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan licin ketika hujan lebat.
Menurutnya, kenderaan berkenaan sedang bergerak dari arah Jalan Bundusan menghala ke Towering sebelum terbabas dan merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.
“Mangsa warga asing berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Erwansyah menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta lebih peka terhadap keadaan cuaca, khususnya ketika hujan lebat dan pada waktu malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan.
