Bomba kawal kebakaran Proton Waja, tiada cedera

KOTA KINABALU: Sebuah kereta jenis Proton Waja terbakar 100 peratus dalam kejadian di hadapan Kedai Yaser Trading, Jalan Sepanggar, di sini, malam tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 6.43 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi, PBK I Faizal Alias, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.20 malam selepas pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.31 malam selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.