LABUAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kru bot nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Kubong memasuki hari keempat hari ini, dengan usaha pencarian masih diteruskan oleh pasukan keselamatan.
Setakat semalam, Pasukan SAR Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan membabitkan seorang pegawai dan lima anggota lain-lain pangkat (LLP) masih giat menjalankan operasi bagi mengesan seorang lelaki yang dikhuatiri terjatuh ke laut.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rosli Awit, 49, berasal dari Tawau, Sabah. Lokasi terakhir mangsa dilaporkan di sekitar perairan Tanjung Kubong.
Operasi SAR dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan bagi meningkatkan keberkesanan pencarian.
Pihak berkuasa turut menekankan aspek keselamatan semua anggota terlibat sepanjang operasi dijalankan.
