40 peratus Hasil Sabah Hak Mutlak MA63, Bukan Rundingan Politik – Mazlan

KOTA KINABALU | Tuntutan supaya 40 peratus hasil daripada bumi Sabah dikembalikan kepada negeri ini adalah hak yang termaktub jelas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukan pemberian ihsan Kerajaan Persekutuan, kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan.

Beliau berkata, tuntutan itu turut disokong keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sekali gus menolak dakwaan bahawa Sabah meminta sesuatu yang melangkaui haknya dalam Persekutuan Malaysia.

Mazlan berkata, ketidakadilan terhadap Sabah telah berlaku sejak awal pembentukan Malaysia, meskipun negeri itu telah lama merdeka dan negara hanya menyaksikan perubahan kerajaan Persekutuan dalam tempoh kurang sedekad kebelakangan ini.

“Tuntutan rakyat Sabah hari ini adalah manifestasi ketidakadilan berpanjangan. Jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak amat ketara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurutnya, ketika negeri-negeri di Semenanjung menikmati kemudahan asas yang baik dan pembangunan pesat, Sabah masih berdepan isu bekalan elektrik, air dan infrastruktur asas.

Mazlan menegaskan Sabah perlu dilayan secara adil berdasarkan keluasan, keperluan dan realiti geografinya, sambil menekankan bahawa rakyat Sabah hanya menuntut hak yang telah dipersetujui dalam MA63.