Jamawi gesa KPD fokus projek berimpak tinggi bagi jaminan makanan Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, menggesa Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menumpukan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat tani luar bandar serta menyokong jaminan makanan negeri.

Beliau menegaskan, tumpuan KPD perlu diberikan kepada program yang benar-benar meningkatkan pendapatan peserta dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar, terutamanya ketika kos input pertanian terus meningkat.

“Aktiviti seperti penternakan ayam pedaging dan ayam kampung, penternakan lebah madu, tanaman pomelo serta projek cendawan harus diperluas dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan melibatkan lebih ramai peserta,” katanya.

Jamawi berkata, KPD wajar memastikan setiap projek diperhalusi secara berterusan, bukan sekadar menambah bilangan peserta.

“Pendekatan ‘kebun dapur’ antara lain boleh membantu petani memenuhi keperluan harian mereka.

*Ini termasuk lebihan hasil boleh dijual melalui Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) yang kini beroperasi di lapan lokasi di Sabah, dengan dua lagi pusat dijangka beroperasi pada 2026,* jelasnya.

Beliau turut menyeru agar golongan muda lebih ramai menceburi sektor pertanian dan menjadi usahawan, bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi dan jaminan makanan negeri.

Jamawi menekankan bahawa projek KPD perlu memberi impak nyata kepada rakyat, bukan sekadar statistik atau jumlah peserta.

Menurut Jamawi, pembinaan APCC juga relevan sebagai saluran pemasaran alternatif bagi mengurangkan tekanan kos kepada petani serta memastikan lebihan hasil pertanian dimanfaatkan sepenuhnya.

KPD harus menjadi pemudah cara dalam menyokong pembangunan pertanian negeri, sambil mengekalkan akauntabiliti dan keberkesanan setiap projek.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan KPD atas inisiatif melaksanakan projek melibatkan komuniti luar bandar, termasuk sumbangan RM1 juta kepada kerajaan negeri.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan tetap perlu diberikan kepada program yang memberi manfaat langsung, jelas dan terukur kepada rakyat Sabah.