Kenyataan Yeo Bee Yin Terhadap Najib Biadap – UMNO Putatan

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed menyifatkan kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sebagai melampau dan tidak beradab.

Menurut beliau, jasa dan sumbangan Datuk Seri Najib kepada negeri Sabah adalah besar serta tidak wajar diperkecilkan.

“Sehubungan itu, kami menuntut YB Yeo Bee Yin menarik balik kenyataan yang dimuat naik di Facebook kerana ia jelas tidak menghormati seorang bekas Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jeffery menegaskan, Najib merupakan pemimpin UMNO dan sokongan terhadap beliau akan terus kekal.

“Namun begitu, tahap kesabaran dan sokongan juga ada batasnya sekiranya kebiadapan sebegini terus berulang,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap pihak tertentu yang menurutnya tidak pernah menghargai jasa pemimpin terdahulu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib bagi memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum agar beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Najib sebelum ini disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan kini sedang menjalani hukuman penjara.