Ewon salur RM155,000 kepada 25 persatuan Cina di Penampang

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menyerahkan sumbangan berjumlah RM155,000 kepada 25 persatuan masyarakat Cina di kawasan Parlimen itu semalam, sebagai komitmen beliau terhadap pembangunan komuniti dan pemain industri tempatan.

Majlis yang dianjurkan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Penampang (PCCCI) itu turut dihadiri Kapitan-Kapitan Cina tempatan, yang sebelum ini menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina dan Pesta Tanglung Parlimen Penampang.

Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata enam persatuan menerima RM10,000 setiap satu manakala 19 persatuan lain masing-masing RM5,000.

Beliau menegaskan, sumbangan itu sebahagian daripada usaha membangunkan ekosistem perindustrian, keusahawanan dan perniagaan Sabah serta meningkatkan peluang pendapatan rakyat tempatan.

“Dasar Sabah First menjadi teras kementerian saya. Ia bertujuan memastikan rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan dan pemilikan perniagaan, seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini,” katanya.

Ewon juga menekankan keperluan meningkatkan standard produk dan perkhidmatan pemain industri tempatan untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau menambah, kementerian dan agensi berkaitan akan diperkasakan agar lebih efisien, termasuk melibatkan wakil korporat dalam lembaga pengarah GLC untuk tadbir urus profesional dan berpaksikan keperluan industri.

“Pendekatan ini akan menjadikan Sabah destinasi pelaburan, perniagaan dan keusahawanan yang lebih baik, serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.